fb fb fb fb fb

MINDEF serah kes pelajar UPNM cedera kepada polis

Tangkap layar hantaran Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi X

KUALA LUMPUR, 10 November- Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan berhubung kejadian seorang pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dicederakan oleh seorang penuntut senior tahun tiga universiti berkenaan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi hantaran di X memaklumkan, pihaknya berpendirian kejadian terbabit adalah tidak wajar dan merosakkan imej UPNM serta institusi pendidikan tinggi.

"Susulan laporan polis yang dibuat, Kementerian Pertahanan menyerahkan perkara ini kepada pihak Polis Diraja Malaysia untuk menyempurnakan siasatan.

"Pihak saya dan Kementerian Pertahanan akan memberi sepenuh kerjasama dan perhatian dalam perkara ini," menurut hantaran itu.

Terdahulu Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa dalam satu kenyataan juga memaklumkan telah menerima laporan kejadian terbabit.

Laporan itu berkenaan seorang pelajar disyaki dipijak sehingga cedera parah di bahagian rusuk dan belakang badan oleh seorang penuntut senior tahun tiga universiti berkenaan.

Kejadian dilaporkan berlaku pukul 10.45 malam, 21 Oktober dengan mangsa ketika itu berada di tepi padang kawad, dan polis menerima laporan berkenaan pada pukul 8.40 malam, 8 November.

Mangsa yang berusia 19 tahun kini dirawat di hospital berikutan kejadian itu.

 

BERITA BERKAITAN:

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI