fb fb fb fb fb

Seorang kakitangan bank ditahan, terbabit kes kehilangan wang lebih RM24 juta

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 15 Jun- Polis menahan seorang kakitangan bank yang disyaki terbabit dalam kes kehilangan wang daripada empat akaun simpanan tetap membabitkan kerugian RM24.2 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dalam satu kenyataan hari ini berkata, wanita berusia 38 tahun itu ditahan di Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis lepas dan polis telah merampas tiga unit telefon bimbit, lapan kad ATM pelbagai bank, wang tunai RM4,400 serta sebuah komputer riba.

"Siasatan setakat ini mendedahkan terdapat penglibatan ahli sindiket dari dalam dan luar bank yang bersubahat bagi urusan pengeluaran wang berkaitan.

"Ini memandangkan urusan tersebut hanya boleh dilakukan melalui pakatan dalaman," katanya.

Tangkapan itu dilakukan selepas pihaknya menerima empat laporan daripada pemilik akaun dan kakitangan bank pada awal Jun lepas di Petaling Jaya, Selangor berikutan mangsa menyedari terdapat pengeluaran wang yang mencurigakan dan dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu membabitkan beberapa akaun simpanan.

Bagaimanapun semua pemilik akaun menafikan mereka tahu berkenaan transaksi berkenaan selain mendakwa tidak pernah ke Kota Kinabalu untuk membuat pengeluaran.

Ramly berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihaknya sedang mengesan serta mengenal pasti beberapa individu lain yang terlibat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI