KUALA LUMPUR, 15 Jun- Polis berjaya menyelamatkan 17 wanita warga Indonesia yang disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia dalam operasi di sebuah asrama syarikat perkhidmatan pembantu rumah di Shah Alam, Selangor semalam.
Ketua Penolong Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Senior Asisten Komisioner (SAC) Soffian Santong dalam satu kenyataan berkata, semua mangsa berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun diselamatkan dalam Operasi Pintas (Op Pintas) pada pukul 9.30 malam.
Operasi itu dijalankan selepas mendapat maklumat mengenai kewujudan eksploitasi buruh paksa terhadap mangsa yang diberikan pekerjaan sebagai pembantu rumah.
"Siasatan awal mendapati kesemua mangsa bekerja antara enam bulan hingga dua tahun dengan majikan tersebut dan ada mangsa mengadu tidak pernah menerima sebarang bayaran gaji," katanya.
Tiga lelaki berusia lingkungan 31 hingga 40 tahun turut ditahan.
Mereka berperanan sebagai majikan dan penyelia untuk mengambil serta menghantar mangsa ke tempat kerja masing-masing dan akan disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran.