fb fb fb fb fb

Dua individu didakwa beri rasuah kepada pembantu penguatkuasa MBIP

FOTO RTM

JOHOR BAHRU, 24 September- Seorang jurujual dan seorang penjaja pasar malam dihadapkan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tuduhan memberi rasuah kepada  pembantu penguatkuasa Majlis Bandar Iskandar Puteri (MBIP) berjumlah empat ribu ringgit pada, November tahun lalu dan Januari lalu.

Namun kedua-dua tertuduh, Tan Poh Wey, 41 tahun dan Wong Chee Khoi, 56 tahun, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.  

Mengikut kertas pertuduhan, Tan secara rasuah memberi suapan berjumlah RM3,000 kepada seorang pembantu penguatkuasa MBIP agar tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas 53 Mobile Trading kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen sah.

Selain gagal mematuhi notis supaya memberhentikan aktiviti perniagaan tanpa lesen.

Kesalahan dilakukan tertuduh pada 5 petang, 23 Januari lalu di Taman Pulai Mutiara, Johor Bahru.

Seorang lagi tertuduh, Wong Chee Khoi turut didakwa memberi rasuah sebanyak RM1,000 kepada pembantu penguatkuasa MBIP agar tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya kerana menjalankan perniagaan runcit tanpa lesen sah.

Kesalahan dilakukan pada 8.20 malam, 2 November tahun lalu di Jalan Persiaran Teknologi, Johor Bahru.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwaraya SPRM, Mahirah Mohd Fauzi dan Rais Adha Ramli manakala kedua-dua tertuduh diwakili K.Bharati dan C.S.Lim.

Mahkamah memerintahkan ikat jamin sebanyak lima ribu ringgit kepada Tan dan empat ribu ringgit kepada Wong beserta dua syarat tambahan.

Sebutan kes ditetapkan,  21 dan 22 Oktober depan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE