JOHOR BAHRU, 24 September- Seorang warga emas di Johor kerugian RM1.24 juta selepas diperdaya sindiket pelaburan saham IPO dalam talian, sejak Jun dan Julai lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M.Kumar berkata, lelaki berusia 70 tahun itu terdahulunya tertarik dengan sebuah iklan pelaburan di media sosial Facebook, yang kononnya menawarkan pulangan lumayan pada kadar segera.
Mangsa kemudiannya telah berurusan seorang suspek menerusi aplikasi Whatsapp, untuk membuat pelaburan.
Menerusi pelaburan pertamanya, dia berjaya mendapat sejumlah pulangan yang dijanjikan.
Namun, setelah melakukan beberapa transaksi bagi pelaburan seterusnya, suspek gagal dihubungi.
Wang simpanan sebanyak RM1,244,202.00 telah dihabiskan dalam pelaburan tersebut.
Mangsa kemudiannya membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 410 Kanun Keseksaan.