fb fb fb fb fb

APMM tahan lima pekerja Myanmar, sangkar ikan tamat tempoh lesen

Lima pekerja sangkar ikan warga Myanmar ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah di perairan Tanjung Dawai, Kuala Muda, petang semalam/ Foto: FB Maritim Malaysia

KUALA KEDAH, 24 September- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menahan lima lelaki warga Myanmar kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan di sangkar ikan di Perairan Tanjung Dawai, Sungai Petani semalam.

Hasil pemeriksaan juga mendapati dua sangkar ikan beroperasi tanpa lesen.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pemeriksaan dilakukan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin Op Aman dan Op Khas Patkor Prima pada pukul 5.30 petang semalam.
 
"Hasil pemeriksaan mendapati, lesen sah pengoperasian telah tamat tempoh dan kelima-lima lelaki warga Myanmar yang disyaki pekerja sangkar berkenaan gagal menunjukkan dokumen perjalanan diri yang sah ketika diperiksa.
 
"Kesemua yang ditahan berumur antara 27 hingga 38 tahun itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 8 (c) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Noor Azreyanti, kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan siasatan lanjut.
 
Tegasnya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

“Pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai bagi melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-731057,” tambahnya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI