LABUAN, 18 Julai - Sembilan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam Op Mahir dan Op Sabu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Labuan.
Mereka disyaki melanggar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas atau permit sah.
Pengarah JIM Labuan, Raymond Entalai berkata, operasi dilakukan hasil aduan awam dan risikan awal Unit Aduan Risikan Operasi Bahagian Penguatkuasa JIM Labuan.
" Operasi dilaksana di kawasan perkilangan dan penempatan sekitar pulau ini.
Tangkapan terdiri daripada seorang warga Indonesia dan lapan warga Filipina berumur antara lima hingga 42 tahun," katanya.
Jelas beliau, kesemua tahanan kini ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Depot Imigresen Labuan untuk siasatan.
Raymond turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau majikan yang melanggar peraturan Imigresen serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).