fb fb fb fb fb

Op Gasak: KPDN dan PDRM serbu premis jual LPG tanpa lesen

Serbuan di serbuah premis, Jalan Sungai Ular, Kulim/Foto RTM

KULIM, 18 Julai - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kulim dengan kerjasama Pasukan Perisikan Siasatan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman menyerbu sebuah premis runcit di Jalan Sungai Ular kerana disyaki menjual Gas Petroleum Cecair (LPG) tanpa lesen sah, semalam.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, dalam OP Gasak itu, 56 tong LPG seberat 14 kilogram dan enam tong LPG seberat 12 kilogram ditemukan yang dipercayai untuk jualan runcit.

Jelas beliau menerusi kenyataan pada pemeriksaan pada pukul 12 tengah hari, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang mengaku sebagai pemilik premis berada di lokasi ketika serbuan dijalankan.

Nilai sitaan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM4726.40 sen.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya bagi individu yang disabitkan kesalahan.

Tambahnya, tindakan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Kita Gempur yang dilancarkan pada 19 Oktober 2024, bagi menangani ketirisan barang kawalan dan bersubsidi.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN