fb fb fb fb fb

Sembilan individu terlibat sindiket 'calling center' diberkas

Foto FB Polis Melaka

MELAKA, 10 Februari- Polis Melaka telah menahan sembilan individu yang dipercayai terlibat dalam sindiket 'calling center'.

Menurut Pemangku Ketua Polis Melaka, SAC Datuk Md Nazri Zawawi, sindiket itu menjalankan penipuan pekerjaan antarabangsa yang menyasarkan rakyat di kepulauan Caribbean.

Serbuan yang dijalankan di sebuah kondominium di Taman Kota Laksamana, Bandaraya Melaka,membawa penahanan enam warga tempatan dan tiga warga asing itu.

Modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan mengiklankan tawaran pekerjaan palsu kepada mangsa melalui media sosial.

"Mangsa yang berminat akan berkomunikasi melalui aplikasi WhatsApp atau Telegram dan diarahkan untuk melakukan 32 jenis tugasan melalui laman sesawang yang diberikan, kononnya untuk menaikkan jumlah maklum balas terhadap hotel dan filem di negara berkenaan.

"Namun, untuk meneruskan tugasan, mangsa diarahkan untuk membuat transaksi kepada sindiket tersebut dan dijanjikan komisen antara AS$70 dolar hingga AS$100 dolar bagi setiap tugasan.

"Sindiket ini dipercayai memperoleh keuntungan kira-kira RM54,000 sebulan," katanya menerusi kenyataan.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai jenis barangan, termasuk komputer riba dan 49 unit telefon bimbit pelbagai jenama, dengan jumlah keseluruhan bernilai RM30,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan dengan membuat semakan terlebih dahulu dan tidak memberikan maklumat peribadi dengan mudah.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM