fb fb fb fb fb

Kes bunuh Nurul Asikin: Sebutan semula 17 Mac

Mahkamah Majistret Kuching hari ini menetapkan 17 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bunuh Nurul Asikin Lan / Foto RTM

KUCHING, 10 Februari – Mahkamah Majistret Kuching hari ini menetapkan 17 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bunuh Nurul Asikin Lan, 29, yang mayatnya ditemui dalam longkang di Jalan Setia Raja, Tabuan pada 14 Disember tahun lalu.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Jean Siow Chung Hwei memaklumkan bahawa pihaknya masih menunggu laporan penuh asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat mangsa.

Tertuduh, Zakwan Mokhtar, 24, dibawa ke mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dengan memakai baju-T dan seluar putih serta pelitup muka, diiringi anggota polis.

Kira-kira 20 ahli keluarga dan rakan mangsa turut hadir untuk mengikuti prosiding.

Zakwan sebelum ini didakwa membunuh Nurul Asikin di Jalan Setia Raja sekitar pukul 9 malam pada 6 Disember 2024, sebelum mayat mangsa ditemui lapan hari kemudian.

Siasatan awal mendapati tertuduh mengaku melakukan jenayah itu kerana terdesak mendapatkan wang untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 di Kemboja.

Zakwan kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, jika disabitkan kesalahan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN