AYER KEROH, 13 Jun - Taktik sindiket penyeludupan yang berselindung di sebalik muatan garam berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka, melibatkan rampasan lebih 600,000 kilogram (kg) beras dari India.
Pengarahnya Nadzri Che Ani berkata, rampasan dibuat dalam dua operasi berasingan dengan nilai keseluruhan RM5.23 juta. Beras itu dipercayai untuk pasaran tempatan.
Katanya, sebanyak 28 buah kontena bermuatan beras 623,000 kg itu ditahan di Pelabuhan Klang, Selangor pada 20 Januari dan 6 Februari lalu.
Hasil semakan mendapati dagangan itu diisytiharkan sebagai ‘sodium chloride’.
Sehubungan itu pemilik syarikat dan ejen penghantaran telah ditahan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
Selain itu, JKDM Melaka turut berjaya menggagalkan cubaan menyeludup minuman keras bernilai RM499,000 dalam serbuan yang dilakukan pada Mac dan April lalu di dua lokasi berasingan sekitar Johor Bahru.
Turut ditumpaskan cubaan menyeludup rokok dianggarkan bernilai RM822,800 membabitkan 1.1 juta batang rokok pelbagai jenama di Muar, Johor juga pada April lalu.