JOHOR BAHRU, 9 Jun - Perselisihan faham antara suami isteri menjadi punca seorang lelaki memandu melawan arus di Jalan Skudai Pantai Lido, di sini awal pagi pada 7 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Raub Selamat, mengesahkan kejadian itu seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Katanya, kejadian berlaku kira-kira 1.41 pagi itu membabitkan sebuah kereta warna biru yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun.
“Pemandu tersebut hadir di Balai Polis Trafik Johor Bahru Selatan pada malam 8 Jun untuk membantu siasatan.
"Dalam rakaman percakapan, dia mengaku memandu secara melawan arus kerana sedang bergaduh dengan isterinya sehingga hilang fokus dan masuk ke laluan yang salah,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, maklumat mengenai kejadian diterima daripada Pegawai Perhubungan Awam di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman pada 8 Jun, 9.10 malam, selepas rakaman video insiden tular di media sosial melalui halaman komuniti Roda Johor (CRJ).
Hasil semakan nombor pendaftaran kenderaan membolehkan polis mengesan pemilik dan pemandu, sebelum mengarahkan individu tersebut hadir ke balai untuk siasatan.
“Ujian saringan air kencing terhadap pemandu mendapati dia bebas daripada pengaruh alkohol dan dadah,” tambahnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.
Polis turut mengingatkan orang ramai agar tidak memandu dalam keadaan emosi tidak stabil demi keselamatan diri dan pengguna jalan yang lain.