KUALA LUMPUR, 9 Jun – Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan bekas pengendali Menara Kuala Lumpur, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) dan syarikat induknya Hydroshoppe Sdn Bhd, untuk memulakan prosiding komital terhadap tujuh individu dan kerajaan.
Permohonan itu difailkan atas dakwaan pihak berkenaan telah mengganggu proses keadilan berkaitan tindakan saman yang masih berjalan berhubung penyerahan konsesi Menara KL kepada pihak lain.
Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan tersebut selepas mendapati pihak pemohon gagal mengemukakan justifikasi yang mencukupi bagi meneruskan prosiding menghina mahkamah.
Sehubungan itu, mahkamah turut memerintahkan MKLSB dan Hydroshoppe membayar kos berjumlah RM25,000 kepada semua defendan, termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Dalam prosiding sama, mahkamah turut menolak permohonan injunksi interparte oleh kedua-dua syarikat tersebut bagi menghalang penyerahan konsesi Menara KL kepada LSH Service Master Sdn Bhd, anak syarikat Lim Seong Hai Capital Bhd.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Julai ini sebagai tarikh pendengaran permohonan Fahmi dan LSH Service Master untuk membatalkan saman yang difailkan terhadap mereka.
Hydroshoppe dan MKLSB diwakili peguam Vinayak Sri Ram, manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly mewakili kerajaan, Kementerian Komunikasi dan Datuk Fahmi Fadzil.
Terdahulu, pada Mei lalu, Mahkamah Rayuan turut menolak rayuan MKLSB dan Hydroshoppe yang memohon injunksi ad-interim bagi menghentikan proses penyerahan konsesi Menara KL kepada LSH Service Master.
Kedua-dua syarikat itu sebelum ini memfailkan saman atas dakwaan pelanggaran kontrak dan menuduh penyerahan konsesi dilakukan secara tidak sah serta tidak jujur. Mereka turut menuntut ganti rugi kira-kira RM1 bilion serta agar pengurusan Menara KL dikembalikan kepada mereka.