fb fb fb fb fb

Banduan PBSL gagal dikesan, polis Saratok buru suspek

Mohamad Hamizul Mohd Kiprawi, 40, telah memulakan tempoh PBSL bermula 26 Mei hingga 15 Julai depan/Gambar polis

SARATOK, 11 Jun – Seorang lelaki yang sedang menjalani program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) dilaporkan menghilangkan diri selepas gagal mematuhi syarat perintah pelepasan dari Penjara Pusat Sri Aman sejak Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Saratok, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Mathew Manggie berkata, Orang Banduan Berlesen (OBB) berkenaan dikenali sebagai Mohamad Hamizul Mohd Kiprawi, 40, telah memulakan tempoh PBSL bermula 26 Mei hingga 15 Julai depan.

"Suspek sepatutnya menetap di alamat yang ditetapkan iaitu di No. 3/451, Jalan Haji Puteh Ellias, Saratok, namun didapati tidak berada di lokasi tersebut dan gagal dikesan sehingga kini.

“Tindakan itu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 43(1) Akta Penjara 1995 (Akta 537) kerana melanggar syarat pelepasan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ketua Polis Balai Saratok, Sarjan Mejar Nara Medan di talian 019-8579113.

PBSL merupakan program pemulihan prapembebasan yang membenarkan banduan tertentu menjalani baki hukuman di luar penjara di bawah pemantauan pihak berkuasa.

GRACE AISYAH KEDAYAN