SUNGAI PETANI, 9 Jun - Seorang wanita warga asing dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran cedera selepas terjun dari tingkat atas sebuah premis di Taman Sejati Indah dalam cubaan melarikan diri daripada serbuan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan, berkata wanita warga Thailand itu patah kaki kanan akibat terjunan tersebut sebelum ditahan bersama dua lagi rakan senegaranya.
“Serbuan dilakukan hasil maklumat awam ke atas sebuah rumah kedai satu tingkat yang disyaki menawarkan khidmat seks. Ketika serbuan, terdapat tiga wanita warga asing dan tiga lelaki warga Bangladesh dipercayai pelanggan berada di premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Siasatan awal mendapati premis terbabit menawarkan khidmat seks kepada warga asing dengan bayaran antara RM100 hingga RM150, dan dipercayai telah beroperasi secara ‘on off’ sejak tahun 2022.
Menurut beliau, premis sama turut pernah diserbu dua kali pada tahun ini, namun pengusahanya masih berdegil meneruskan kegiatan.
Berikutan itu, pihaknya telah meminta Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) supaya merobohkan binaan bilik di dalam premis terbabit, manakala Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) pula diminta memotong bekalan air ke lokasi tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.