fb fb fb fb fb

Seleweng diesel bersubsidi, tiga stesen minyak didenda RM180,150

Foto hiasan/RTM

BUTTERWORTH, 7 November – Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman denda keseluruhan berjumlah RM180,150 terhadap tiga stesen minyak selepas didapati bersalah atas kesalahan penyelewengan diesel bersubsidi.

Hakim Roslan Hamid membuat keputusan itu selepas seorang pengarah syarikat dan seorang pemilik perniagaan yang mengendalikan stesen minyak berkenaan mengaku bersalah terhadap 25 pertuduhan berasingan.

Stesen-stesen minyak terbabit beroperasi di daerah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

Mereka didapati melanggar Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu menjual minyak diesel dengan kuantiti tidak melebihi 250 liter tetapi melebihi sekali transaksi sehari, kesalahan yang diperuntukkan di bawah Seksyen 22(1) dan Seksyen 22(2) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya S. Preeya Darrsini dengan dibantu Pegawai Pendakwa Mohd Hilmi Abu Hassan, manakala kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM150,150 terhadap pengarah syarikat, manakala pemilik perniagaan didenda RM30,000.

Kedua-dua mereka membayar denda berkenaan sebelum meninggalkan perkarangan mahkamah.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN