KUALA LUMPUR, 17 OGOS - Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini mengesahkan Mahkamah Koroner Kota Kinabalu akan mengadakan sebutan esok bagi menetapkan tarikh pendengaran inkues berhubung kematian Zara Qairina Mahathir, 13 tahun.
AGC dalam kenyataan memaklumkan permohonan untuk inkues itu telah dibuat oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah selaras dengan subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].
“Kes ini adalah berkepentingan awam dan Jabatan ini akan memohon agar permohonan dipercepatkan demi memastikan keadilan dapat ditegakkan, bukan sahaja kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina, tetapi juga kepada masyarakat umum,” menurut kenyataan itu hari ini.
Pada 13 Ogos lalu, AGC memutuskan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca serta sebab kematian Zara Qairina.
Ini termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, di sini pada 17 Julai, selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar pada pagi 16 Julai.
Kes berkenaan mencetuskan perhatian meluas dan siasatan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk kemungkinan unsur jenayah serta perlakuan buli.