KUALA LUMPUR, 17 Ogos - Polis telah merakam keterangan 195 saksi berhubung kes kematian pelajar,Zara Qairina Mahathir.
Saksi yang diambil keterangan terdiri daripada pelajar, guru, pegawai perubatan, warden, pengawal keselamatan, ibu bapa serta individu lain yang relevan dengan siasatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata oleh itu kertas siasatan akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara esok bagi mendapatkan nasihat serta arahan lanjut.
“Polis memberi tumpuan siasatan kepada dua elemen utama iaitu dari aspek inkues serta perlakuan jenayah lain seperti buli dan penularan berita palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau mencetuskan sentimen yang boleh menjejaskan keharmonian, sambil menegaskan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus tanpa melindungi mana-mana pihak.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, di sini pada 17 Julai, selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar pada pagi 16 Julai.
Kes berkenaan mencetuskan perhatian meluas dan siasatan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk kemungkinan unsur jenayah serta perlakuan buli.