fb fb fb fb fb

Miliki cap keselamatan mencurigakan, wanita warga Indonesia ditahan di KLIA2

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 17 Ogos - Seorang wanita warga Indonesia berusia 25 tahun ditahan selepas dikesan memiliki cap keselamatan mencurigakan ketika melalui pemeriksaan imigresen di Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2), semalam.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam satu kenyataan memaklumkan hasil siasatan awal mendapati wanita itu memasuki Malaysia melalui Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang, Johor.

"Namun, semakan lanjut menerusi Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) mendapati tiada rekod rasmi keluar atau masuk berkaitan subjek berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Susulan itu, wanita terbabit ditangkap kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63," menurut kenyataan tersebut.

Wanita itu kini ditahan di Depot Imigresen KLIA2 sebelum diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti dalang di sebalik kes berkenaan, selain memastikan tindakan tatatertib diambil terhadap mana-mana pegawai yang terlibat.

AKPS turut menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras pemalsuan dokumen perjalanan serta pelanggaran undang-undang imigresen demi menjaga keselamatan dan integriti pintu masuk negara.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN