PUTRAJAYA, 17 Ogos - Sebanyak 851 kes tangkapan direkodkan dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini membabitkan pelbagai kesalahan maritim.
Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata keseluruhan rampasan dianggarkan hampir RM84 juta sekali gus membuktikan keberkesanan penguatkuasaan Maritim Malaysia dalam membanteras jenayah maritim dan melindungi kepentingan negara.
"Antara kesalahan tertinggi yang dikesan adalah di bawah beberapa akta utama, iaitu Akta Perikanan 1985 sebanyak 345 kes, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (206 kes), Akta Imigresen 1959/63 sebanyak 146 kes, Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002, (57 kes) dan Akta Kawalan Bekalan 1961, (49 kes)", katanya kepada media selepas Majlis Peluncuran Program Jiwa Merdeka di Putrajaya.
Beliau berkata tangkapan itu melibatkan kesalahan seperti pencerobohan nelayan asing, penyeludupan manusia, rokok, minuman keras, barangan bersubsidi serta kesalahan perkapalan.
Tambahnya, penggunaan aset berteknologi tinggi perlu dipertingkat sekali gus membantu mengekang jenayah rentas sempadan yang kini jauh lebih mencabar.
"Kalau dahulu kita tahu pergerakkannya akan menggunakan mata kasar ataupun tonto. Dia tengok ada penguat kuasa berhampiran atau tidak menggunakan tonto, namun sekarang dia banyak menggunakan dron.
"Kalau kita tengok, lagi banyak penggunaan aplikasi-aplikasi yang terdapat dalam handphone. Dia boleh melihat pergerakan kapal sasaran, contohnya kapal dagang, kapal tangki, boleh kawal, boleh lihat lokasi sebenar. Jadi, memudahkan modus operandi atau memudahkan tindakan rompakan atau memudahkan sindiket itu melakukan aktiviti", katanya.
Sementara itu, berkenaan Program Jiwa Merdeka, beliau berkata ia merupakan usaha pihak Maritim Malaysia untuk menjalin hubungan dengan komuniti bandar, selain menarik minat golongan belia terhadap kerjaya maritim.