fb fb fb fb fb

Sebuah lagi sekolah antarabangsa di Pulau Pinang terima ancaman bom

Unit Pemusnah Bom PDRM membuat pemeriksaan di sebuah sekolah antarabangsa di Batu Feringghi susulan ancaman bom

GEORGE TOWN, 22 November- Sebuah sekolah antarabangsa di Batu Ferringhi dekat sini membuat laporan polis kerana menerima ancaman bom menerusi e-mel.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V Saravanan berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengurusan sekolah antarabangsa itu pada pukul 9.44 pagi.

Pihak pengurusan sekolah mendakwa menerima e-mel daripada individu tidak dikenali yang menyatakan telah menanam bom dalam kawasan sekolah berkenaan.

Semalam dua lagi sekolah antarabangsa di Pulau Pinang menerima ancaman sama melalui email yang menyatakan perkara sama.

Permohonan semakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan dibuat untuk mengenal pasti butiran pemilik e-mel.

Kes akan disiasat bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata polis menerima 19 laporan mengenai ancaman bom palsu yang dihantar menerusi e-mel ke beberapa buah sekolah swasta dan kerajaan di seluruh negara.

Tujuh laporan dibuat di Selangor, Kuala Lumpur (5), Johor (3), Pulau Pinang (2) dan masing-masing satu di Perak dan Negeri Sembilan.

Ancaman itu dihantar melalui dua akaun e-mel menggunakan nama 'taktstorer' yang bermaksud 'pengganggu ketenteraman' dalam bahasa Jerman daripada penyedia perkhidmatan e-mel beeble.com.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE