fb fb fb fb fb

Polis Melaka serbu 'call centre' sindiket tawaran kerja tidak wujud

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah

BUKIT BERUANG, 22 November- Polis berjaya menumpaskan operasi 'calling centre' yang menjalankan sindiket tawaran kerja sambilan tidak wujud di sebuah banglo mewah di Ayer Keroh, Melaka tengah malam semalam.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata sindiket yang menyasarkan warga Britain sebagai mangsa dengan menawarkan kerja sambilan tidak wujud itu dipercayai telah beroperasi sejak September lalu.

Sebanyak 17 individu termasuk penyelia pusat panggilan yang merupakan warga tempatan berusia 35 tahun turut ditahan dalam serbuan berkenaan dan polis turut merampas pelbagai barangan kes yang bernilai lebih RM100,000.

"Pihak polis juga menjalankan rampasan terhadap barang barang berikut iaitu 18 set dekstop komputer, 60 unit telefon bimbit, dua buah kenderaan, serangkai kunci dan dua unit passport antarabangsa.

"Pemeriksaan yang dijalankan ke atas dekstop komputer oleh pakar analisa media sosial mendapati terdapat skrip dan perbualan yang digunakan oleh ahli sindiket ini untuk berbual dengan mangsa melalui aplikasi telegram dan whatsapp,"katanya.

Jelas Datuk Zainol, segala transaksi menggunakan mata wang kripto (USDT) yang dikawal ketua sindiket tersebut.

Katanya, siasatan awal turut mendapati lima daripada 17 suspek berkenaan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dipercayai merupakan rangkaian sindiket penipuan dalam talian yang ditumpaskan Jabatan Imigresen di Langkawi pada awal tahun ini.

Kesemua mereka ditahan reman untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 420 kerana menipu dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan kerana melakukan pakat jahat jenayah.

Dalam pada itu, beliau berkata Polis Melaka menerima sebanyak 198 kes merlibatkan penipuan tawaran pekerjaan tidak wujud melibatkan nilai kerugian sebanyak RM3.98 juta dalam tempoh 1 Januari hingga semalam.
 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE