IPOH, 23 November- Seorang anggota polis berpangkat koperal didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan memukul isterinya sehingga cedera, Mei lalu.
Tertuduh Mohd Zulhazree Razali, 39 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret S.Punitha.
Mengikut pertuduhan, bapa empat anak itu, dituduh telah sengaja mendatangkan cedera ke atas isterinya dengan menendang, menampar dan memukul menggunakan bakul.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Persiaran Hulu Bercham 8, Bandar Baru Putra di sini sekitar pukul 7 pagi pada 9 Mei lalu.
Pendakwaan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun yang sama.
Bagi Seksyen 323, tertuduh boleh dipenjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan manakala bagi Seksyen 326A, dia boleh dikenakan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang boleh dikenakan di bawah Seksyen 323.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan tidak dibenarkan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes pada 30 Januari tahun depan.