fb fb fb fb fb

Sebabkan kematian Syed Muhammad Danial, lelaki dipenjara 16 tahun

Bekas pekerja teknologi maklumat, Yew Wei Liang, dijatuhi hukuman penjara 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, kerana menyebabkan kematian pengurus bank Syed Muhammad Danial Syed Shakir dalam insiden amuk di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Kuala Lumpur-Seremban, empat tahun lepas/FOTO BERNAMA

SHAH ALAM, 7 Disember - Seorang bekas pekerja teknologi maklumat dijatuhi hukuman penjara 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, kerana menyebabkan kematian pengurus bank Syed Muhammad Danial Syed Shakir dalam insiden amuk di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Kuala Lumpur-Seremban, empat tahun lepas.

Hakim Julia Ibrahim memerintahkan Yew Wei Liang, 45, menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 10 Ogos 2019.

Hakim Julia ketika menyampaikan keputusan itu berkata mahkamah mengambil kira faktor mitigasi yang dikemukakan antaranya latar belakang Yew, kerjasama yang diberikan oleh tertuduh kepada siasatan dan laporan impak keluarga mangsa dalam kes tersebut.

“Pada masa sama, mahkamah juga perlu menekankan kepentingan awam dalam kes seperti ini yang menuntut suatu hukuman berbentuk pencegahan dan pengajaran kepada umum kerana kes bermula dari amukan di jalan raya, didorong rasa amarah dan tidak puas hati serta disumbangkan penggunaaan bahan terlarang hanya mengundang akibat buruk.

“Mahkamah juga mempertimbangkan kenyataan impak daripada keluarga si mati (isteri) dan sesungguhnya kejadian ini adalah satu tragedi yang impaknya mengenai semua pihak terlibat secara langsung atau tidak langsung,” katanya.

Terdahulu, peguam Wee Choo Keong yang mewakili tertuduh memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman penjara enam tahun atas alasan anak guamnya tidak berniat menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial sebaliknya ia lebih kepada kejadian malang dalam nahas jalan raya melibatkan kedua-dua pihak.

Beliau berkata anak guamnya menanggung isteri serta ibu bapa yang uzur dan insiden itu telah mengakibatkan isteri tertuduh keguguran.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memohon agar tertuduh dikenakan hukuman berat dan setimpal kerana jenayah seperti itu kerap berlaku di negara ini.

“Kes ini juga memberi impak besar kepada masyarakat dan pernah tular suatu ketika dahulu. Hukuman berat wajar dikenakan kepada tertuduh supaya memberi pengajaran kepadanya dan teladan kepada masyarakat supaya kesilapan serupa tidak berulang.

“Tindakan tertuduh yang gagal mengawal emosi harus beri pengajaran kepada masyarakat jika berhadapan situasi sukar di jalan raya,” katanya.

Pada Selasa lepas, mahkamah mensabitkan Yew dengan kesalahan menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial selepas memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pada 20 Julai lepas, Julia memerintahkan Yew membela diri atas pertuduhan membunuh Syed Muhammad Danial, 29, selepas memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Pada 22 Ogos 2019, Yew dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan melakukan perbuatan itu di Kilometer 293.6 di Lebuhraya Utara-Selatan (Kuala Lumpur-Seremban) di sini antara 1 tengah hari dan 2 petang 10 Ogos 2019 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati. - BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN

Kes langgar: Lelaki didapati bersalah sebabkan kematian Syed Muhammad Danial

GRACE AISYAH KEDAYAN