fb fb fb fb fb

Hina Melayu: 'Mak Cik Kemboja', anak mengaku tidak bersalah

'Mak Cik Kemboja' (depan, tengah) dan anaknya (belakang, dua kanan)

AYER KEROH, 7 Disember- Pemilik syarikat Mariyah Holdings Sdn Bhd, Mariyah Yaakob, 47, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat kenyataan berbaur perkauman di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan berkenaan pada 16 November lalu menerusi rakaman video di aplikasi TikTok miliknya.

Dalam prosiding berbeza, anak lelaki tertuduh yang juga pengarah syarikat berkenaan, Ezuan Hafsham Mohd Hisyam, 22, turut mengaku tidak bersalah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati secara sedar menggunakan perkhidmatan aplikasi TikTok ibunya membuat dan memulakan hantaran komunikasi video yang memaparkan seorang perempuan mengatakan sesuatu yang jelik sifat.

Tertuduh melakukan kesalahan itu dengan niat menyakitkan hati orang lain yang telah ditonton pada tarikh, masa dan lokasi sama.

Kedua-dua prosiding yang dijalankan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Melaka, Ahmad Sazali Omar mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan.

Sementara itu, kedua-dua tertuduh diwakili oleh peguam Kamal Hisham Jaafar memohon jaminan rendah memandangkan Mariyah seorang ibu tunggal yang menanggung tiga orang anak dan perniagaannya terjejas akibat COVID-19 serta diboikot kerana kes terbabit, manakala Ezuan Hafsham masih belajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta.

Hakim Mohd Sabri Ismail kemudian menetapkan jaminan RM15,000 ke atas Mariyah dan RM10,000 ke atas Ezuan Hafsham.

Mahkamah juga membenarkan syarat tambahan seperti dicadangkan oleh pendakwa raya iaitu pasportnya diserahkan kepada mahkamah dan tidak boleh memberi apa-apa kenyataan kepada mana- mana pihak kerana dikhuatiri menganggu perjalanan kes.

Mahkamah menetapkan 12 Januari depan bagi serahan dokumen dan sebut semula kes.

SITI AISHAH BINTI MD ISA