fb fb fb fb fb

Kes langgar: Lelaki didapati bersalah sebabkan kematian Syed Muhammad Danial

Bekas pekerja teknologi maklumat, Yew Wei Liang didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial Syed Shakir dalam kejadian langgar di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Kuala Lumpur-Seremban, empat tahun lepas/FOTO BERNAMA

SHAH ALAM, 5 Disember - Seorang bekas pekerja teknologi maklumat didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial Syed Shakir dalam kejadian langgar di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Kuala Lumpur-Seremban, empat tahun lepas.

Hakim Julia Ibrahim membuat keputusan itu ke atas Yew Wei Liang, 45, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah bagi kesalahan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.

Pada 20 Julai lepas, Hakim Julia memerintahkan Yew membela diri atas pertuduhan membunuh Syed Muhammad Danial mengikut Seksyen 302 kanun sama selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Dalam keputusannya hari ini, hakim itu berkata tertuduh gagal membuktikan terdapat ancaman kecederaan tubuh terhadap tertuduh dan isterinya daripada si mati.

“Walau bagaimanapun, berdasarkan keseluruhan keterangan, mahkamah mendapati wujud hak mempertahankan harta tertuduh daripada perbuatan khianat oleh si mati iaitu merosakkan kereta Innova tertuduh dengan menggunakan kayu baseball, tetapi hak pertahanan harta ini tidak dilanjutkan sehingga menyebabkan kematian si mati.

“Mahkamah juga mendapati kredibiliti saksi-saksi pendakwaan kekal tidak tercabar sehingga akhir kes pembelaan,” katanya.

Hakim Julia menetapkan 7 Dis ini bagi mendengar rayuan dan hujahan sebelum menjatuhkan hukuman.

Pada 22 Ogos 2019, Yew dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh Syed Muhammad Danial, 29, di Kilometer 293.6 di Lebuhraya Utara-Selatan (Kuala Lumpur-Seremban) di sini antara 1 tengah hari dan 2 petang, 10 Ogos 2019 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Seramai 20 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 27 Okt 2021.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala Yew diwakili peguam Wee Choo Keong. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN