fb fb fb fb fb

Wanita dalang 'pasport terbang' China ditahan

Pasport dan wang tunai antara dirampas dalam Ops Serkap yang menahan seorang wanita tempatan dipercayai dalang ‘pasport terbang’/FOTO JIM Johor

JOHOR BAHRU, 5 Disember - Seorang wanita tempatan disyaki dalang sindiket pemalsuan pasport ditahan Jabatan Imigresen di Taman Nusa Bestari, di sini pada 6 petang semalam.

Turut ditahan dalam Ops Serkap berkenaan, seorang lelaki warganegara China disyaki orang tengah sindiket.

Sindiket itu dipercayai meletakkan harga RM400 hingga RM500 bagi setiap pasport yang diproses.

Pengarah Jabatan Imigresen Negeri, Baharuddin Tahir berkata, tangkapan wanita berusia 47 tahun dan lelaki 34 tahun itu susulan risikan yang dijalankan selama dua minggu.

"Sindiket pemalsuan pasport negara China itu dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu. Turut dirampas semasa serbuan di tapak parkir kenderaan, lima pasport negara China dan wang tunai RM12,100," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Baharuddin berkata, turut disita sebuah kenderaan jenis Toyota Mark X berwarna putih.

Kes disiasat mengikut seksyen 6(1)(c) dan seksyen (12)(1)(f) Akta Pasport 1966 (akta 150).

GRACE AISYAH KEDAYAN