fb fb fb fb fb

Miliki alatan pecah rumah, seorang lelaki ditahan polis

Foto Ihsan PDRM

PETALING JAYA, 5 Disember- Seorang lelaki warga tempatan ditahan polis kerana menghalang tugas penjawat awam selain memiliki peralatan pecah rumah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata penangkapan suspek berjaya dilakukan selepas terlibat dalam insiden kejar mengejar, dengan bantuan 28 buah kenderaan MPV polis dari daerah Subang Jaya, Serdang dan Sepang.

Suspek dilapor telah terbabas berhampiran Balai Bomba TTDI, Kuala Lumpur dan melarikan diri sehingga ke Hospital KPJ Damansara sebelum berjaya diberkas.

Pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan yang dinaiki suspek membawa beberapa peralatan pecah rumah antaranya spanar tayar ubah suai, pahat, pemutar skru dan pisau pemotong.

Turut dirampas, 66 keping wang kertas pelbagai nilai berjumlah RM6,000.

Kesemua barang yang dijumpai, dirampas untuk siasatan lanjut.

Suspek berumur 45 tahun dan mempunyai 15 rekod jenayah lampau dan tiga rekod dadah.

Kes disiasat bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 28(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana memiliki alatan pecah rumah.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM