fb fb fb fb fb

Sarjan mengaku tidak bersalah rogol remaja bawah umur

Tertuduh, Sharil Amir Shaari, 42, di pekarangan Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini

IPOH, 8 Februari- Seorang anggota polis berpangkat Sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen sini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur pada bulan lalu.

Tertuduh, Sharil Amir Shaari, 42, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah merogol seorang remaja perempuan berusia 16 tahun pada pukul 4.00 petang, 12 Januari lalu.

Kesalahan dilakukan dalam sebuah kereta di tempat letak kenderaan sebuah pasaraya di Seri Iskandar, Perak.

Pertuduhan dikemukakan bawah Seksyen 376 (1) kanun keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Qurratu'aini Khalifah, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sejumlah RM5,000 dan menetapkan 25 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

SITI AISHAH BINTI MD ISA