JOHOR BAHRU, 8 Februari- Lapan suspek yang juga pegawai kanan dan anggota polis daerah Seri Alam, Johor Bahru kekal direman sehingga esok bagi membantu siasatan berhubung kes pemerasan terhadap seorang wanita, pada Rabu minggu lalu.
Siasatan dijalankan ke atas semua suspek, sama ada memiliki sebarang rekod jenayah atau pernah mempunyai masalah displin ketika bertugas sebelum ini.
Ketua Polis Johor, Komisioner Polis M.Kumar berkata pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai atau anggotanya yang terlibat.
"Hanya segelintir daripada anggota ini yang terlibat. Hala tuju pasukan adalah untuk memastikan mereka yang segelintir ini disingkirkan daripada pasukan."
"Tiada kompromi dalam isu integriti dan rasuah. Saya juga sebagai Ketua Polis Johor akan memastikan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai atau pegawai saya yang terlibat dalam salah laku jenayah, isu integriti atau rasuah," kata M.Kumar kepada pemberita selepas pelancaran Op Selamat 21 Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Kempas (Arah Utara), Johor Bahru.
Dalam perkembangan lain, 15 individu berusia 20 hingga 40 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki tempatan di sebuah pusat hiburan, Ahad lalu.
14 suspek ditahan di beberapa di lokasi berasingan di sekitar Johor Bahru manakala suspek utama berusia 30 tahun pula ditahan Isnin lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai sebaik sahaja tiba dari Bangkok.
Siasatan menyeluruh termasuk motif pembunuhan lelaki tersebut masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.