fb fb fb fb fb

Jenayah siber di Melaka rekod kerugian lebih RM40 juta - Timb Exco

AYER KEROH, 8 Februari - Kira-kira RM40.5 juta kerugian akibat jenayah siber dilaporkan di Melaka bagi tempoh sepanjang tahun lalu melibatkan 1,571 kes.

Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, golongan pekerja swasta antara yang tertinggi menjadi sasaran penipuan iaitu dengan 732 mangsa.

Manakala seramai 300 penjawat awam turut menjadi mangsa jenayah siber.

Katanya, kes jenayah siber tertinggi direkodkan adalah pembelian dalam talian iaitu sebanyak 528 kes.

"Manakala kes jenayah siber kedua tertinggi melibatkan penipuan pelaburan tidak wujud dengan 296 kes, diikuti tipu pinjaman tidak wujud, 259 kes serta tipu siber melibatkan TAC, peraduan dan lain-lain 221 kes.

"Kes jenayah siber lain yang dilaporkan melibatkan tipu telefon scam sebanyak 156 kes, diikuti tipu love dan parcel 46 kes, tipu tawaran pekerjaan 45 kes dan tipu tawaran pekerjaan 45 kes.

"Selain itu, sebanyak 20 kes direkodkan bagi kes penipuan menyamar sebagai rakan untuk meminjam wang," katanya pada Taklimat Klik Dengan Bijak bersama Penjawat Awam Negeri Melaka di Auditorium Seri Negeri, di sini hari ini.

Oleh itu, beliau menyeru masyarakat agar sentiasa berwaspada ketika melakukan sesuatu transaksi atau terus menghubungi Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 untuk sebarang permasalahan.

GRACE AISYAH KEDAYAN