fb fb fb fb fb

Polis Sarawak lancar Ops Selamat ke-21 di seluruh negeri

Datuk Mancha Ata menyempurnakan Pelancaran Kempen dan Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2024 yang berlangsung di Dewan Terbuka IPK Sarawak

KUCHING, 7 Februari- Polis Diraja Malaysia Kontinjen Sarawak akan melaksanakan Ops Selamat Ke-21 bersempena dengan sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina 2024 bermula esok hingga 13 Februari ini.

Bercakap kepada pemberita di Kuching, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, memberitahu seramai 850 orang pegawai kanan dan pegawai rendah polis akan terlibat dalam operasi tersebut diseluruh negeri terutamanya di lokasi-lokasi kerap berlaku kemalangan serta kesesakan lalu lintas.

Jelas beliau, kadar kemalangan jalan raya di Sarawak telah menyaksikan peningkatan bagi tempoh Januari hingga Disember 2023 iaitu sebanyak 521 kes, berbanding dengan 412 kes bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya, manakala kes kemalangan maut juga meningkat daripada empat kes pada tahun 2022 kepada tujuh kes tahun lepas.

Menurutnya, salah satu faktor utama peningkatan kemalangan ini berlaku adalah sikap lalai pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan lalu lintas.

"Ada berbagai faktor, ini sikap pengguna jalan itu sendiri, hasil kajian kita. Tidak mematuhi had laju, tidak mematuhi lalu lintas, peraturan peraturan jalan raya. Memang tidak dinafikan jalan raya di seluruh Sarawak ni sudah meningkat baik dan selesa.

"Tapi punca utama ialah sikap pemandu dan kedua adalah tidak memeriksa kenderaan terlebih dahulu. Fungsi kenderaan dalam keadaan baik atau tidak dan ada juga disebabkan faktor lain seperti berada bawah pengaruh alkohol,"katanya.

Selain itu, pihak polis juga akan memberi tumpuan terhadap keselamatan perkhidmatan pengangkutan air di laluan sungai seluruh negeri dengan kerjasama Lembaga Sungai Sarawak dan Jabatan Laut Sarawak, selain melaksanakan rondaan berkala ke kawasan-kawasan perumahan sepanjang musim perayaan ini, bagi mengurangkan kes kemalangan di kawasan perairan selain mencegah kes jenayah pecah rumah.

Beliau juga memaklumkan, statistik jumlah kes pecah rumah yang berlaku di seluruh negeri bagi tempoh Januari hingga Disember 2023 merekodkan sebanyak 959 kes berbanding dengan 891 kes pada tahun 2022.

Justeru beliau juga berharap agar orang awam sentiasa peka dan berdisiplin

Datuk Mancha Ata berkata demikian selepas menyempurnakan Pelancaran Kempen dan Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2024 yang berlangsung di Dewan Terbuka Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Ibrahim Darus.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE