fb fb fb fb fb

Sarang pelacuran, premis hiburan di Ipoh digempur

88 warga asing ditahan menerusi serbuan di sebuah premis penginapan yang dijadikan sarang pelacuran/Foto FB JIM Perak

 IPOH, 10 Julai - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menahan 88 warga asing menerusi serbuan di sebuah premis penginapan yang dijadikan sarang pelacuran serta dua premis hiburan eksklusif di sekitar bandar raya Ipoh dalam operasi dua hari bermula semalam.

Pengarah JIM Perak Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata kesemua warga asing yang ditahan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Sebanyak 78 wanita dan 10 lelaki warga asing berumur antara 21 hingga 46 tahun telah ditahan dalam serbuan terbabit berdasarkan aduan dan hasil pemantauan serta risikan yang dijalankan oleh Unit Risikan dan Operasi JIM Perak di semua lokasi berkenaan.

“Pecahan mengikut warganegara yang ditahan pula adalah sebanyak 64 warga Thailand, 13 warga Vietnam, empat warga Nepal, tiga warga India dan Bangladesh serta seorang warga Sri Lanka,” katanya menerusi satu kenyataan.

Meor Hezbullah berkata sebanyak 35 pegawai JIM Perak bersama 22 pegawai serta anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Hulu Kinta telah melaksanakan operasi berkenaan.

Ketika serbuan katanya, beberapa wanita dipercayai pelacur dan pelayan pelanggan (GRO) cuba bersembunyi di ruang atas bumbung bagi mengelak ditahan pihak imigresen.

Meor Hezbullah berkata kesemua warga asing itu ditahan di Depot Imigresen Ipoh bagi siasatan dan tindakan lanjut mengikut proses perundangan di bawah akta JIM.

“Selain itu, sebanyak 14 Borang Imigresen 29 iaitu saman saksi telah dikeluarkan kepada pemilik dan penjaga premis warga tempatan untuk mereka hadir ke Bahagian Penguatkuasa JIM Perak bagi tujuan rakaman dan percakapan serta siasatan lanjut sebelum hukuman diputuskan,” katanya.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat berhubung aktiviti tidak bermoral itu, selain berharap ia dapat dilakukan berterusan bagi mengekang kebanjiran pendatang tanpa izin.

“JIM juga akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana majikan atau individu yang menggaji atau melindungi pendatang tanpa izin ini termasuk pendakwaan di mahkamah,” katanya. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN