fb fb fb fb fb

Kilang proses keropok pelbagai perisa guna sijil halal tamat tempoh

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang sita keropok pelbagai perisa

SEBERANG JAYA, 10 Julai - Sebuah premis memproses produk makanan ringan keropok pelbagai perisa di Bukit Mertajam di sini, dikesan beroperasi dengan sijil halal tamat tempoh.

Susulan serbuan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyita keropok pelbagai perisa di sebuah rumah kedai dua tingkat.

Pengarah KPDN negeri S Jegan berkata nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM6,748.

"Premis yang dijadikan kilang itu didapati menggunakan Logo Halal Malaysia yang sudah tamat tempoh sah bagi tujuan perdagangan ke atas produk jualannya berupa makanan ringan keropok pelbagai perisa.

"Serbuan membabitkan empat anggota penguat kuasa KPDN negeri dan dua pegawai Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP)," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Tindakan kes diambil di bawah Perenggan 4 (1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011.

"Sekiranya disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN