BALIK PULAU, 27 Mei- Sepasang suami isteri berdepan tuduhan menganiaya anak perempuan mereka sehingga mengalami kecederaan fizikal di Mahkamah Sesyen Balik Pulau hari ini.
Pasangan berusia 47 dan 49 tahun itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut kertas pertuduhan, pasangan tersebut didakwa menganiaya anak mereka yang berumur 12 tahun di kediaman mereka di Bayan Lepas pada pukul 7.30 pagi, 18 Mei lalu, sehingga mendatangkan kecederaan fizikal.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong manakala peguam V. Partiban mewakili tertuduh.
Hakim membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 seorang dan menetapkan 1 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Sazalee Adam memaklumkan bahawa mangsa mengalami trauma selepas pernah dikurung dalam sangkar anjing dan turut dipukul oleh bapa sendiri.
Mangsa juga pernah menulis surat kepada rakannya di sekolah mendedahkan penderaan tersebut.