SEREMBAN, 27 Mei- Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas dua pertuduhan menggunakan kedudukan jawatannya untuk mendapatkan suapan melalui kontrak perkhidmatan bagi isterinya sendiri.
Tertuduh, Rosdi Pilus, 50 tahun, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Mengikut pertuduhan pertama, pada 18 November 2021, tertuduh yang merupakan Penolong Pengarah di sebuah jabatan kerajaan di Negeri Sembilan didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan kontrak perkhidmatan bernilai RM19,000.
Tindakan itu melibatkan padanan bayaran bagi baucar perniagaan milik isterinya berkaitan Perolehan Perkhidmatan Pakej Penginapan, Makan dan Minum Kursus Teknologi Rekabentuk Pembungkusan dan Pelabelan Produk Zon Selatan.
Bagi pertuduhan kedua, pada 23 Februari 2022, tertuduh didakwa memperakukan "Kelulusan Ketua Bahagian" pada Borang Pesanan Kerajaan atas nama syarikat milik isterinya untuk Perolehan Perkhidmatan Bagi Program Hari Sukan Negara 2022 Peringkat Negeri Sembilan berjumlah RM5,000.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Zainab Yahya manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad.