AYER KEROH, 27 Mei- Dua sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah di sekitar Melaka berjaya ditumpaskan dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan berjumlah RM395,020.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, tangkapan pertama melibatkan sepasang kekasih seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam, kedua-duanya berusia 30 tahun yang diberkas di sebuah kondominium di Jalan Syed Abdul Aziz pada 20 Mei lalu, kira-kira pukul 11.10 malam.
“Pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua suspek menemui 70 gram ketamin bernilai kira-kira RM100,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Soal siasat ke atas suspek membawa kepada serbuan kedua di sebuah kondominium di Jalan Klebang Kechik yang menemukan pelbagai jenis dadah dipercayai untuk pasaran tempatan termasuk 2,150 gram heroin, 350 gram syabu, 100 gram ketamin, 50 gram MDMA dan 5,500 biji pil ekstasi.
“Keseluruhan rampasan dadah dan sitaan dari dua lokasi ini dianggarkan bernilai RM362,370,” katanya.
Sementara itu, bagi tangkapan kedua di Daerah Jasin, polis telah menahan sepasang suami isteri, seorang lelaki warganegara Singapura dan seorang wanita tempatan masing-masing berusia 38 dan 41 tahun di sebuah kediaman berhampiran Bandar Jasin Bestari, Bemban.
Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah iaitu 212 biji pil ekstasi, 42 biji Eramin 5, 13.37 gram syabu, 10 gram ganja, 80 gram ketamin, serta 127.5 mililiter cecair ketamin yang digunakan untuk perisa vape.
Turut disita harta milik pasangan terbabit termasuk sebuah kereta dan sebuah motosikal, dengan nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM32,650.
Dalam pada itu, Datuk Dzulkhairi berkata, polis Melaka akan membawa cadangan kepada kerajaan negeri Melaka untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape dalam masa terdekat.
“Kita sedang siapkan kertas kerja cadangan yang akan mengambil kira pelbagai aspek, termasuk implikasi ekonomi kepada penjual vape,” katanya.
Usaha itu, katanya bagi mengekang penyalahgunaan dadah melalui vape yang kian menular terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah.