KUANTAN, 27 Mei- Hasil risikan dan maklumat orang awam, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) bersama Jabatan Perhutanan berjaya merampas kayu dan peralatan bernilai dianggarkan RM97.3 juta dalam operasi bersepadu Op Bersepadu Khazanah (Op Sawmill) yang dijalankan sejak 11 Februari hingga 20 Mei lalu.
Dalam operasi itu, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara bersama agensi berkaitan menyerbu 32 premis kilang memproses kayu, sekali gus menahan 98 individu; 88 lelaki dan 10 perempuan yang terdiri daripada warganegara tempatan dan asing berusia antara 18 hingga 80 tahun.
Menurut Pengarah Jabatan KDNKA, Datuk Seri Azmi Abu Kassim, dua siri pertama operasi bermula 11 Februari hingga 19 Mei melibatkan 18 serbuan di Terengganu dan Kelantan dengan nilai rampasan RM66.5 juta serta 53 tangkapan.
“Siri ketiga Op Sawmill pula pada 20 Mei lalu, melibatkan 14 serbuan dengan rampasan bernilai RM30.8 juta dan 45 tangkapan di Pahang, Terengganu serta Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Briged Tenggara PGA, Kem Bukit Galing, Kuantan, Pahang yang turut dihadiri Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Hutan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Abd. Ramlizauyahhudin Mahli.
Tambah beliau, operasi berkenaan mengesan 11 kesalahan membabitkan Akta Imigresen 1959/63, Akta Perhutanan Negara 1984, Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985 serta Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja.
“Modus operandi yang digunakan kilang sawmill ini ialah dengan mencampurkan hasil kayu hutan dengan kayu getah yang tidak dikenakan cukai bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.
Operasi Op Sawmill dijangka akan diteruskan bagi memastikan sumber hutan negara terus terpelihara daripada penerokaan haram.