KOTA BHARU, 27 Mei- Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan merogol seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah bilik stor sekolah di Kuala Krai pada April tahun lalu.
Tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol remaja perempuan berusia 15 tahun 11 bulan sekitar jam 3 petang di bilik stor sekolah berkenaan.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Wan Norfarhan Liyana Wan Baharuddin.
Dalam hujahnya, pendakwa memohon jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin, manakala peguam tertuduh memohon jumlah tidak melebihi RM3,000 kerana anak guamnya baru menerima tawaran sambung pengajian di sebuah institusi Matrikulasi pada 23 Jun depan.
Selain itu, ibu bapa tertuduh hanya bekerja sebagai buruh kilang dan tidak mampu membayar jumlah jaminan yang tinggi.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Jun untuk serahan dokumen serta sebutan semula kes.
Difahamkan mangsa kini mengandung dan telah melahirkan bayi perempuan pada Januari lalu.