KUANTAN, 23 Mei-Seorang wanita yang menjadi dalang dalam kes samun ibu mentua bersama rakan lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini; atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan.
Bagaimanapun, tertuduh, Sri Farhana Nabila Mohd Kamal, 27 tahun dan Mohd Fazlin Rahmat, 34 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Azman Mustapha.
Berdasarkan kertas pertuduhan, sekitar pukul 11.50 malam, 20 Mac lalu, kedua-duanya didakwa merompak satu utas rantai leher dan gelang tangan milik Norizan Abdullah, 56 tahun, di sebuah rumah di Felda Chini Timur 1, Pekan bersenjatakan sebilah pisau.
Kes disiasat mengikut seksyen 395 kanun keseksaan dan dibaca bersama seksyen 397 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azizah Ahmad, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan ditetapkan untuk kedua-dua tertuduh, bagaimanapun, mereka masih boleh memohon jaminan selepas melantik peguam.
Mahkamah menetapkan 25 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin mengesahkan bahawa pihaknya menahan seorang suri rumah bersama lima kenalan lelakinya selepas disyaki terlibat dalam kes samun bersenjata yang mengakibatkan kerugian dianggarkan berjumlah RM12,000.
Wanita berkenaan pada awalnya tampil membuat laporan palsu mendakwa dirinya menjadi mangsa samun oleh empat lelaki bertopeng.
Namun, siasatan lanjut membongkar helah wanita itu yang berkomplot dengan salah seorang suspek untuk menyamun barang kemas milik ibu mentuanya sendiri.