KUALA PILAH, 23 Mei- Dua lelaki yang memecah tabung surau dan masjid di Kuala Pilah sudah ditahan polis, Rabu lalu.
Dalam kejadian pada tengah malam Selasa lalu, kedua-dua suspek berusia 19 dan 20 tahun itu disyaki memecah tabung di lima masjid untuk membayar sewa rumah dan membuat penyelenggaraan kereta.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, suspek dikesan memecah tabung di Masjid Sungai Dua Kecil, Masjid Kuala Sungai Dua, Masjid Kariah Kampung Parit, Masjid Nur Salbiah dan Masjid Kariah Sungai Dua Besar.
“Bertindak atas maklumat dan risikan yang dijalankan, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Pilah melakukan serbuan berasingan dan berjaya menahan kedua-dua suspek pada Rabu.
“Pengecaman dilakukan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Suspek yang tidak bekerja itu menggunakan alasan wang itu digunakan untuk servis kereta dan membayar sewa rumah,” katanya.
Jelasnya, kenderaan Perodua Kancil, dua tabung besi, wang RM120 dan peralatan digunakan suspek turut dirampas.
“Kedua-dua suspek mengaku terbabit dalam semua lima kejadian pecah tabung masjid di Kuala Pilah dan turut mengaku terbabit dalam beberapa kes lagi.
Tambahnya, suspek ditahan reman selama dua hari bermula Khamis dan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.