KOTA BHARU, 23 Mei - Seorang lagi suspek lelaki ditahan, disyaki terbabit kejadian menyimbah cecair dipercayai asid terhadap seorang pemilik spa di Beris Kubur Besar, Bachok, Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Bachok Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata suspek 45 tahun ditahan pukul 4.00 petang semalam di sebuah kilang getah di Kuala Krai.
Suspek ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes berkenaan yang disiasat bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
"Polis akan memohon perintah reman suspek pada hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.
Semalam dilaporkan seorang suspek wanita turut ditahan di sebuah kilang yang sama kerana disyaki terlibat dalam kejadian berkenaan.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat dilapor berkata wanita berusia 38 tahun itu ditahan pada 4 petang pada Rabu.
Pada Sabtu lepas, seorang peniaga wanita disimbah cecair dipercayai asid oleh seorang individu tidak dikenali dalam kejadian berhampiran sebuah kedai serbaneka di Beris Kubur Besar, Tawang di Bachok.
Akibat serangan itu, mangsa melecur teruk pada bahu, belakang, lengan dan kaki, bagaimanapun dia kini dilaporkan stabil dirawat di Wad Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian. - BERNAMA