GEORGE TOWN, 22 Mei- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan minyak diesel bersubsidi dengan nilai keseluruhan sitaan sebanyak RM36,240 menerusi operasi yang dijalankan di sebuah stesen minyak di kawasan Simpang Ampat.
Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, kegiatan terbabit terbongkar apabila pihak penguat kuasa mengesan sebuah lori melakukan pemindahan cecair yang disyaki diesel ke dalam tangki simpanan pukal (IBC) dalam keadaan mencurigakan.
"Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua buah tangki IBC diubah suai disambungkan dengan hos dan pam daripada tangki asal dengan anggaran kapasiti anggaran 1,000 liter setiap satu. Tangki terbabit diletakkan di bahagian belakang lori tersebut", katanya menerusi kenyataan.
Semakan lanjut mendapati pemandu lori itu gagal mengemukan sebarang dokumen lesen atau permit bagi penyimpanan minyak diesel.
Turut disita satu set hos paip dan pam serta beberapa dokumen perniagaan berkaitan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti atau rantaian pengedaran minyak diesel.