KUALA LUMPUR, 23 Mei- Dua sindiket pemalsuan dokumen berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan berasingan menerusi Operasi Khas yang dilaksana 20 Mei lepas.
Ketua pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban dalam satu kenyataan memaklumkan sembilan individu telah ditahan dalam serbuan berkenaan, hasil risikan pasukannya selama hampir sebulan.
Serbuan pertama dilaksana membabitkan tiga lokasi sekitar Jalan Ampang dan Jalan Kia Peng, pada pukul 12.10 tengah hari.
Enam individu berjaya ditahan, terdiri daripada lima warga China dan seorang warga Myanmar berusia antara 28 hingga 41 tahun.
"Kumpulan ini dikenali dengan gelaran “Ejen 001".
Pasukan operasi telah menyita sebanyak 23 naskhah pasport China, satu naskhah pasport Vanuatu, dua set CPU komputer, cop premis, empat unit telefon bimbit, dua keping kad Employment Pass (EP), dua set salinan permohonan MDEC, satu unit dokumen perjalanan China dan wang tunai berjumlah RM50,000.00," kata kenyataan itu.
Sementara itu, serbuan kedua dijalankan pada pukul 5.42 petang di tiga premis perniagaan sekitar Jalan Raja Laut.
Tiga lelaki warga Bangladesh berusia antara 24 hingga 32 tahun ditahan dalam serbuan berkenaan.
Sindiket yang dikenali sebagai “Al-Ameen” itu dipercayai aktif memalsukan dokumen ePLKS untuk warga Bangladesh yang tidak mempunyai permit kerja.
Bayaran dikenakan antara RM30 hingga RM 70 bagi setiap dokumen palsu.
"Hasil semakan pada ‘Kod QR’ di ePLKS mendapati pemilik merupakan individu lain dan tiada maklumat.
Sindiket ini berselindung di sebalik kedai telefon bimbit bagi mengaburi pihak berkuasa untuk menjalankan aktiviti haram ini dan telah beroperasi selama enam bulan," jelas kenyataan itu.
Dalam operasi tersebut, 18 pasport Bangladesh, satu pasport Pakistan, komputer riba, mesin pencetak, serta wang tunai lebih RM 3,000, dirampas.
Kesemua tangkapan kini disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Lapan warga tempatan turut diberi notis hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
Tambah kenyataan itu, JIM komited mempergiat penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti penyalahgunaan dokumen dan pelanggaran undang-undang imigresen.