fb fb fb fb fb

Saman fitnah Rewcastle Brown: Mahkamah tolak rayuan Mabel

Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown/Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 14 Julai - Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan bekas Hakim Mahkamah Sesyen, Mabel Sheela Mutthiah, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnah RM100 juta difailkannya terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown.

Saman itu berkaitan tiga artikel yang diterbitkan dalam portal berkenaan pada 2015, termasuk satu bertajuk 'Bagaimana Pejabat Peguam Negara berkomplot untuk Menghalang Bedah Siasat Kedua ke atas Kevin Morais– Pendedahan Eksklusif' yang pada asalnya ditulis dalam bahasa Inggeris.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azizah Nawawi sebulat suara memutuskan bahawa mereka terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang menetapkan plaintif (Mabel) perlu mengemukakan terjemahan artikel fitnah itu dalam Bahasa Melayu.

"Dalam kes ini, tiada terjemahan artikel berkenaan disediakan dalam Bahasa Melayu, jelas menunjukkan ketidakpatuhan terhadap Aturan 92. Kami tidak mendapati sebarang kesilapan yang boleh dirayu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi. Justeru, rayuan ini ditolak dengan kos sebanyak RM10,000," katanya.

Azizah bersidang bersama Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azizul Azmi Adnan dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

Mabel Sheela yang juga bekas pegawai khas bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali diwakili peguam Datuk David Gurupatham dan R. Venothani, manakala Rewcastle-Brown diwakili Guok Ngek Seong dan Phyllia Lim.

Pada 2 Mei tahun lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi ketika itu (kini Hakim) Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan menolak saman berkenaan dengan kos RM15,000 selepas mendapati plaintif gagal menterjemahkan artikel yang didakwa berunsur fitnah itu ke dalam Bahasa Melayu.

Beliau menegaskan bahawa keperluan untuk mengemukakan dokumen perundangan dalam Bahasa Melayu adalah selaras dengan kedudukan bahasa itu sebagai bahasa kebangsaan.

Beliau berkata peruntukan berkaitan turut diperincikan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 serta Aturan 92 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Mabel memfailkan saman terhadap Rewcastle-Brown pada 2019 susulan penerbitan artikel yang didakwa mengaitkannya dengan mesej teks kepada keluarga mendiang Timbalan Pendakwa Raya Kevin Morais, yang dibunuh pada September 2015.

Beliau menafikan dakwaan dalam artikel itu dan memohon ganti rugi serta arahan mandatori untuk Rewcastle-Brown selaku defendan mengeluarkan artikel berkenaan daripada laman Sarawak Report.- BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN