SHAH ALAM, 14 Julai – Polis akan memanggil semua peserta yang menghadiri program motivasi rumah tangga bagi membantu siasatan, selepas menerima laporan kandungan program didakwa menyimpang daripada norma masyarakat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur lucah atau ajaran menyimpang seperti yang didakwa.
"Siasatan dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan setiap aspek dan dakwaan dapat dinilai dengan adil.
"Polis akan memanggil semua peserta yang hadir dalam program tersebut untuk dirakam percakapan di bawah seksyen 112 kanun acara jenayah bagi membantu siasatan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 294 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil selepas siasatan awal membuka kertas enkuiri polis (KEP).
Pada masa sama, polis turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dalam menyertai mana-mana program, aktiviti atau bengkel yang tidak jelas tujuannya serta tidak diketahui latar belakang penganjurnya.
“Orang ramai digalakkan untuk membuat semakan dan rujukan terlebih dahulu sebelum mengambil bahagian agar tidak terjebak dengan aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang atau nilai moral masyarakat," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan program motivasi dan bimbingan, dikatakan dikendalikan pasangan suami isteri, didakwa menyebarkan ajaran sesat dan menyasarkan golongan wanita bekerja serta berdepan krisis rumah tangga.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar mengesahkan dua wanita saksi dipanggil Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung penganjuran program eHATI.