fb fb fb fb fb

Dua individu direman 11 hari, polis rampas ganja bernilai RM25,000

Polis menunjukkan ganja yang dirampas pada sesi sidang media hari ini/Foto Phil Gabrial

PULAU PINANG, 14 Julai – Polis menahan dua individu termasuk seorang wanita warga asing dalam satu operasi di sekitar Pulau Tikus dan Tanjong Tokong yang membawa kepada rampasan ganja bernilai RM25,240.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Abdul Rozak Muhammad berkata, tangkapan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada 10 Jun lalu, kira-kira pukul 9.30 malam selepas menerima maklumat risikan.

“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah rumah di lokasi serbuan, polis menemukan 15 ketulan mampat daun kering yang dibalut plastik lutsinar dipercayai ganja seberat 8,200 gram, dengan anggaran nilai pasaran RM25,240,” katanya kepada media, hari ini.

Tambah beliau, sindiket itu dipercayai aktif mengedar dadah sejak awal tahun ini dan bekalan ganja yang dirampas berupaya menampung keperluan sehingga 16,400 penagih.

Saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki tempatan positif dadah dan mempunyai empat rekod jenayah lampau, manakala suspek wanita warga asing negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Kedua-dua suspek kini direman selama 11 hari bermula 11 Julai hingga 21 Julai bagi membantu siasatan lanjut.

Jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan bernilai RM46,890.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

GRACE AISYAH KEDAYAN