KANGAR, 15 Julai - Dua individu termasuk seorang pesara pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perlis direman tujuh hari untuk membantu siasatan atas tuduhan meminta dan menerima rasuah RM70 ribu bagi kelulusan permit ubah suai rumah di sekitar negeri itu, sejak tiga tahun lalu.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Ana Rozana Mohd Nor selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis di Mahkamah Majistret Kangar.
Kedua-dua tertuduh berusia 61 serta 37 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perlis, semalam.
Menurut sumber SPRM, suspek dipercayai bersubahat meminta dan menerima wang antara 300 hingga RM9 ribu daripada pemohon sebagai balasan memudahkan proses kelulusan permit sejak 2022.
Suspek lelaki pernah bertugas sebagai pembantu penguat kuasa yang mengendalikan kes ubah suai rumah, manakala suspek wanita merupakan penolong pegawai di jabatan yang sama.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan, penahanan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.