AYER KEROH, 15 Julai -Sebanyak 4.1 tan baja bernilai RM6,789.05 telah dirampas di sebuah kawasan perumahan elit, di sini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Dr. Mohd Hazimin Jamaludin berkata, rampasan dilakukan selepas didapati syarikat terbabit tidak memiliki sebarang kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk menjalankan urus niaga melibatkan barang kawalan.
Katanya, syarikat berkenaan sudah beroperasi sejak setahun lalu di kawasan perumahan itu dan menyewa tiga buah lot banglo untuk aktiviti tersebut.
Rampasan dilakukan adalah hasil risikan yang dibuat selama seminggu berpandukan aduan orang awam.
"Dan seterusnya syarikat itu dikompaun RM500 kerana menggunakan alat penimbang yang tidak disahkan ketepatannya. Hasil siasatan kita mendapati tempahan dibuat melalui akaun TikTok milik syarikat tersebut. Syarikat berkenaan telah membeli baja dari pihak lain dan melakukan pembungkusan semula di lokasi ini," katanya kepada media selepas melakukan Ops Samar 5.0, di sini.
Jelasnya lagi, ini merupakan kali pertama pihaknya menemui kes berkenaan yang beroperasi di kawasan perumahan elit.