GEORGE TOWN, 15 Julai – Dua lelaki ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam beberapa kes khianat dengan api dan simbah cat di beberapa premis perumahan sekitar Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kedua-dua suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan hasil siasatan terhadap satu kes simbah cat yang berlaku di Tanjung Tokong pada 30 Jun lalu.
Katanya, tangkapan dibuat menerusi serbuan berasingan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang pada 3 Julai lalu.
“Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa barang kes termasuk sebuah motosikal, sebuah telefon bimbit, pakaian milik suspek dan sebuah beg silang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, hasil soal siasat mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian khianat dengan api yang menyebabkan kebakaran melibatkan tiga buah rumah di Tasek Gelugor pada 24 Jun lalu.
Malah, mereka turut dipercayai terbabit dalam lima lagi kes simbah cat yang kini dalam siasatan pihak polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.